Halaman Selamat Datang
Selasa, Oktober 24, 2017 
 
Berita »

Saintis Kutub Malaysia, Dr. Siti Aqlima buat penyelidikan di Antartika

Oleh Azman Zakaria
Sumber foto oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan






SERDANG, 13 Mac - Pensyarah kanan Jabatan Biokimia, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Aqlima Ahmad kini berada di Pulau Signy, Antartika, menjalankan penyelidikan selama 80 hari di pulau itu sehingga 20  Mac 2017.

Penyelidikannya bertajuk ‘Diversity and Biogeography of Soil Bacteria Degrading Phenol,’ dijalankan di Signy Research Station, Factory Cove, Borge Bay, di pulau itu.

Stesen penyelidikan itu yang terletak pada kedudukan latitud 60°43'0"S dan longitud  45°36'0"B menawarkan persekitaran yang sesuai untuk penyelidikan berkenaan.

Menurut paparan Facebook milik Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), satu daripada keunikan Signy Research Station adalah ia menyokong pelbagai projek berkaitan eko-sistem dan perubahan iklim Southern Ocean.

Jarang terdapat pengunjung ke Signy Island, dan sehubungan itu membolehkan kajian terhadap kepelbagaian mikrobial dijalankan dengan mudah menggunakan sampel tanah di kawasan semulajadi (yang tidak terganggu) dan kawasan pernah terganggu.

Dr. Siti Aqlima, penerima YPASM Berth Support, tiba di Punta Arenas, Chile pada  25 Disember 2016 dari Kuala Lumpur, dan meneruskan perjalanan ke Signy Research Station pada 27 Disember  2016 menaiki kapal tentera British, ‘HMS Protector.’









Beliau tiba di stesen penyelidikan itu pada 31 Disember, 2016.

Terdapat tujuh orang bekerja di stesen penyelidikan itu iaitu dua saintis Britain, seorang saintis Jepun, Dr Siti Aqlima serta tiga orang kakitangan British Antarctic Survey (BAS).

Signy Island, adalah sebuah daripada kepulauan kecil di Antarctic yang panjangnya adalah 6.5 km dan lebar kurang daripada 5 km. Sebahagian besarnya dilitupi ais yang kekal sehingga ketebalan 288m.

Pada musim panas, banyak kawasannya berlumut dan terdapat rumput serta terbentuknya kolam dan tasik air tawar.

Signy Research Station adalah satu-satunya stesen musim panas Britain, dan antara yang terkecil miliknya. Pulau itu mempunyai banyak hidupan liar dan kehijauan sekitar menjadikannya makmal luar yang ideal. – UPM