Halaman Selamat Datang
Isnin, Ogos 21, 2017 
 
Berita »

Pembedahan di dubur lebih mudah melalui inovasi SRAS

Oleh Azman Zakaria
Foto Noor Azreen Awang






SERDANG, 6 Feb - Pakar bedah akan boleh memeriksa hujung dubur manusia dan melakukan pembedahan dengan lebih mudah melalui alat yang diberi nama Self Retaining Anal Speculum (SRAS), hasil inovasi yang dibangunkan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM).

Alat bio-komposit ini dimasukkan dari luar anus sehingga rektum pesakit. SRAS akan membuka bahagian dubur yang akan memudahkan pakar bedah melakukan pemeriksaan dan pembedahan. 

Novelti atau ciri istimewa SRAS ialah ia tidak perlu dipegang ketika pembedahan kerana silicon collar pada SRAS akan kembang sebaik klip pada hujung SRAS ditarik sekali gus bertindak sebagai sistem pengunci yang mengukuhkan kedudukan alat itu di dalam dubur.

Klip itu boleh dilonggarkan yang akan mengembalikan silicon collar kepada bentuk asal, untuk SRAS mudah ditarik keluar dari dubur selepas digunakan.

Kedudukan SRAS ini juga boleh dipusingkan ketika di dalam dubur yang membolehkan semua bahagian dubur dapat diperiksa dan pembedahan dilakukan sekiranya perlu.

SRAS berukuran diameter terbuka (diameter of opening)  38mm, mempunyai ruang terbuka (open space) sebagai ‘working area’ 90 darjah /30mm dan boleh dimasukkan ke dubur sehingga kedalaman 80mm.






Penyelidik dan pensyarah, Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina,UPM, Dr Saiful Hasley Ramli yang membangunkan SRAS berkata, alat itu untuk memudahkan pemeriksaan dan pembedahan untuk rawatan hemorrhoids (buasir), fistula-in- ano (saluran kecil yang tidak normal berhampiran anus) dan fissure- in- ano (ulser dalam dubur).

Katanya, ia diperbuat daripada plastik Polypropylene bergred perubatan dan adalah produk pakai buang. Ia hanya digunakan sekali sahaja bagi menjamin kebersihan dan mengurangkan infeksi pencemaran.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan SRAS tercetus ketika perbincangan dengan pakar bedah UPM, Dr Tik Fu Gee yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur.

Dr Saiful Hasley berkata, ketika melanjutkan pengajian master degree ke Sheffield Hallam University, United Kingdom, beliau (Dr Saiful Hasley) mengemukakan cadangan projek itu untuk penilaian dan pengesahan kepada syarikat pengeluar produk alat pembedahan, B.Braun.

Katanya, dengan bimbingan jurutera reka bentuk syarikat itu, beliau membangunkan SRAS pada penghujung 2007 dan siap pada 2009.

Beliau berkata, prototaip asal SRAS sudah melalui tiga pembaharuan kemas kini sejak yang pertama dibangunkan pada 2009. Produk itu sudah dipatenkan secara bersama oleh UPM dan Sheffield Hallam University.

Katanya, sebuah syarikat awal  RekaSihat Sdn Bhd sudah diwujudkan untuk membangun dan memasarkan produk itu.

Katanya, pengeluaran produk mungkin akan dilakukan di China dan beliau menjangkakan ia akan berada di pasaran dalam masa dua tahun lagi.

Pada peringkat awal, ia akan dipasarkan di Malaysia dan United Kingdom, sebelum diperluaskan ke Amerika Syarikat.

Produk itu memenangi tiga pingat emas pada pameran inovasi, masing-masing satu di Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2009 UPM, ITEX (International Invention & Innovation Exhibition) Kuala Lumpur 2010 dan British Invention Showcase 2010 di London serta menenerima anugerah khas dari Korean Invention Promotion Association (KIPA) 2010. - UPM