Halaman Selamat Datang
Selasa, Oktober 24, 2017 
 
Berita »

PUTRA BAKTI, UPM berbudi di Cambodia

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh





KAMPOT, (Cambodia) - Kumpulan Putra Bakti UPM yang diwakili oleh pegawai dan staf Perubatan Pusat Kesihatan Universiti selesai menjalankan perkhidmatan kesihatan di Kampung Kampot, Cambodia selama dua hari berturut-turut dengan merawat kesihatan penduduk kampung dan mengkhatankan beberapa kanak-kanak tempatan.

Kumpulan sukarelawan UPM mendapat jemputan daripada Majlis Setiausaha Politik Malaysia (MSPM) bersama sukarelawan NGO yang lain dalam program CSR bersama 1,500 penduduk Kampot yang diserikan dengan kehadiran wakil Perdana Menteri Cambodia Hun Sen iaitu anak beliau, Brig Jen Hun Manith dan Mufti Kampot, Zuhri Ahmad.

Kedua-dua mereka dalam ucapan majlis perasmian mengucapkan jutaan penghargaan kepada wakil Malaysia yang sama-sama menyumbang tenaga, kepakaran kesihatan dan barangan makanan dan lain-lain dalam projek CSR kepada penduduk kampung yang telah hadir.






Koordinator program CSR MSP tersebut, Siti Bainun Ahd Razali berkata pihaknya turut menjalankan aktiviti sukan dengan kanak-kanak, menyumbangkan bantuan makanan, beras, peralatan dapur, pam air, enam peralatan sekolah dan lima ekor lembu untuk akikah di mana kesemua sumbangan ialah daripada kerajaan Malaysia.

"Kami menjangkakan kehadiran seramai 800 penduduk kampung tetapi sebaliknya seramai 1,500 penduduk yang hadir," katanya yang turut membawa lima sukarelawan daripada NGO lain dan lima dari UPM.

Sementara itu Ketua kumpulan Putra Bakti UPM, Dr. Aditya Adawiah Darwis mengulas mereka berpuas hati dengan impak rawatan kesihatan walaupun masa amat terhad selain masalah komunikasi bahasa dengan penduduk.

Selain beliau, pegawai perubatan UPM yang lain ialah Dr Nurhayati Mohd Sobki, Dr Soe Min Htet @ Hj Mohamed Rafee dan pembantu perubatan, Muhammad Athuf Azhar.

Penyertaan UPM dalam program CSR itu diuruskan oleh Koordinator Putra Bakti UPM, Bukryman Sabri, seorang aktivis sukarelawan yang juga pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM.

"Penduduk yang dirawat mengadu masalah seperti sakit-sakit badan, sakit tekak dan sakit kepala.

"Faktor habuk, kemarau dan ketiadaan paip utk bekalan air bersih menyumbang kepada masalah kesihatan mereka. Majoriti daripada mereka bekerja sendiri di kampung," ujar Dr. Aditya.









Terdahulu, sebaik sahaja tiba di bumi Cambodia, sukarelawan UPM dan sukarelawan NGO lain diraikan oleh Duta Besar Malaysia ke Cambodia, Dato' Seri Hasan Malek dan pegawai kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Setiausaha politik Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Abd Halim Jusoh terharu dengan usaha UPM selaku wakil pendidikan tinggi yang menyumbang tenaga dan kepakaran kepada masyarakat kurang berkemampuan di luar negara dalam program MSP yang turut dihadiri oleh kira-kira 24 ahli.