Halaman Selamat Datang
Rabu, Ogos 23, 2017 
 
Berita »

Inovasi ‘dekoponix rack’, ‘home deco’ bawa pertanian ke dalam rumah

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang





SERDANG, 12 Jan: “Pertanian tidak semestinya di ladang, malah boleh dilakukan di dalam rumah.”

Berpegang kepada konsep ini dan sebagai penyelesaian kepada masalah kesukaran penghuni rumah pangsa atau pangsapuri yang mahu bercucuk tanam, kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan ‘dekoponix rack’ dan ‘home deco’ yang membolehkan penghuni pangsapuri menanam beberapa jenis sayuran dan ulaman di dalam rumah.

Bukan sahaja tidak memerlukan tanah, teknologi ini juga hanya menggunakan ruang kecil namun dapat mewujudkan suasana kehijauan dalam rumah dan membawa kesegaran udara.

Tatkala ulam yang ditanam boleh dipetik terus ketika menikmati hidangan, ‘dekoponix rack’ ini juga adalah satu bentuk hiasan dalaman dan boleh menjadi bidai pemisah antara ruang tempat makan dan dapur.

Ia mula dibangunkan pada November 2014 oleh kumpulan penyelidik diketuai Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin Abd Rahman dari Jabatan Rekabentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM.  Model prototaip inovasi ini siap akhir tahun lalu.

Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin berkata, ia akan dikomersilkan dalam masa terdekat pada harga antara RM700 dan RM800 seunit berserta set kit permulaan termasuk baja, biji benih, pam, kup dan sponge.

Katanya, kaedah hidroponik yang digunakan membuatkan tanaman tidak memerlukan penjagaan rapi tetapi menghasilkan produk yang bersih serta organik. Antara sayuran yang boleh ditanam ialah kalian, salad, kangkung, bayam merah, pegaga. 






Katanya, teknologi itu yang mengguna pakai sistem modular mudah dipasang dan dileraikan oleh pengguna dalam masa kira-kira lima minit.

“Dengan berat ketika kosong kira-kira 2.5 kilogram, ia mudah dibawa untuk dipasang, manakala ketinggian selepas dipasang 1.5 meter untuk rak empat tingkat adalah sesuai  diletakkan di dalam rumah. Bilangan rak juga boleh ditambah,” katanya.

Beliau berkata, produk itu mudah diselenggarakan dan airnya berkitar berterusan yang hanya perlu ditambah sekali dalam masa dua minggu.

“Ia menggunakan sistem ‘deep flow’ atau alir tenggelam iaitu teknik hidroponik dengan air sentiasa berputar dan akar tanamam tenggelam dalam air yang mengalir di dalam rak,” katanya. 

Dr Khairul Aidil Azlin berkata, antara penyelidik dan pelajar yang terbabit dalam projek itu ialah Dr  Mohd Shahrizal Dolah, Mohd Hafiz Talib (kini Pengarah Dekoponik Sdn Bhd) dan Mohd Zulkarnain Rusli.

Inovasi itu memenangi pingat perak pada Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2016 UPM dan finalis pada Anugerah Harta Intelek Negara 2016.

Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin berkata, ‘home deco’ pula adalah konsep hiasan menggunakan sistem hidroponik secara bertakung di dalam bekas yang diperbuat daripada seramik yang diwarnai dengan pelbagai corak menarik.






Katanya, teknologi itu boleh membentuk sebahagian dekorasi di dapur dan meja makan, dengan sayuran dan ulamannya juga boleh terus dipetik ketika menjamu selera di meja makan.

Bersaiz lebih besar sedikiti daripada kotak tisu, ia boleh diletakkan atas meja di pejabat sebagai hiasan bagi menyegarkan suasana dan boleh diberi sebagai cenderahati. Ia dijual pada harga RM180 seunit berdasarkan tempahan.

Sebarang pertanyaan boleh emel kepada drkhairulazlin@upm.edu.my - UPM