Naib Canselor UPM, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah bergambar bersama penerima anugerah Fellowship Naib Canselor.
SERDANG, 15 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengiktiraf staf cemerlang dalam aktiviti pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan profesional serta sokongan pada Majlis Gemilang P
utra 2010 (MGP) di sini.
Tujuh penerima Anugerah Fellowship Naib Canselor ialah Prof. Madya Dr. Noordin Mohamed Mustapha (Fakulti Perubatan Veterinar) dan Dr. Manohar Mariapan (Fakulti Perhutanan) bagi kategori Cemerlang dalam Pengajaran.
Penerima lain ialah Prof. Dr. Abdul Halim Shaari (Fakulti Sains) bagi kategori Cemerlang dalam Penyelidikan, Prof. Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar (Fakulti Kejuruteraan) dan Hamzah Ismail (Pusat Sukan) bagi kategori dalam Perkhidmatan Profesional dan Sn. Nur Lina Chong Abdullah (Pusat Sukan) dan Norhana Ali (Bahagian Hal Ehwal Pelajar) bagi kategori Cemerlang dalam Perkhidmatan Sokongan.
Prof. Tan Sri Datuk Dr. Nik Mustapha (kiri) menyampaikan anugerah Kategori Cemerlang dalam Pengajaran kepada Prof. Madya Dr. Noordin (kanan).
Setiap penerima anugerah menerima geran bernilai RM10 ribu ringgit, sebuah plak dan sijil daripada Naib Canselor UPM, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah.
MGP turut menobatkan 3 penerima anugerah Jasamu Dikenang dan 91 penerima anugerah Jasa Putra, masing-masing membawa pulang sijil simpanan premium BSN bernilai RM300 dan sijil penghargaan.
Sementara itu, 32 penerima anugerah Setia Putra menerima hadiah jam tangan dan sijil penghargaan, 499 penerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang menerima wang tunai seribu ringgit dan sijil penghargaan serta 119 anugerah Bakti Putra menerima sijil simpanan premium BSN bernilai RM500 dan sijil penghargaan.
Berita ini disediakan oleh Seksyen Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPM. (Mohd Faisal Md Noor, 03-89466013, Fotografi Ahmad Fua'ad Alwi, 03-89466199).