SERDANG, 4 Februari – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan talian bebas tol 1 800 2255 876 untuk kemudahan pelanggan menghubungi universiti itu dengan lebih aktif baru-baru ini.
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat UPM, Abdullah Arshad berkata talian itu membolehkan UPM memantau maklum balas pelanggan dan mengukur keberkesanan perkhidmatan serta sumber selain mempromosikan UPM.
“Pada peringkat percubaan, talian bebas tol dikendalikan oleh operator UPM sedia ada yang akan menyambung panggilan kepada pihak berkaitan berdasarkan maklumat yang telah disediakan.
“Sebarang maklumat tambahan yang tidak mempunyai data disediakan akan dijawab oleh pegawai pihak tersebut,” katanya.
Beliau berkata panggilan yang dibuat pada hari cuti akan direkodkan oleh mesin penyimpanan maklumat sebelum dipantau oleh operator pada hari bekerja.
Menurut Abdullah, pada masa akan datang UPM akan mewujudkan Pusat Khidmat Pelanggan UPM (one stop center) yang akan mengendalikan sepenuhnya talian tersebut.
Berita ini disediakan oleh Seksyen Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPM. (Khairul Anuar Muhamad Noh 03-89467469)